31 Dec 2009

No comments
Posted in

Tahun Baru : Masa di dunia makin singkat...


Sedar-sedar je dah nak masuk 2010!! Aku rasa macam sekejap je masa berlalu..(tanda-tanda kiamat tu..) Tapi aku perasan tentang satu perkara ni.. Yelah, umur aku dah 23 tahun.. lagi sebulan 24 tahun..mestilah perasan..bukan perasan hensem.. tapi aku perasan pasal tema AZAM setiap nak masuk tahun baru.. di televisyen, di radio, di majalah.. sikit-sikit cerita pasal azam tahun baru la, pasal azam yang tak tercapai la, dan macam-macam lagi tentang azam ni..

Apalah pemikiran kita ni.. azam tu bukan nak kena tunggu tahun baru.. kalau dah tekad nak buat, buat je la mulai sekarang.. buat secepat mungkin.. kalau tengah tahun dah ada niat nak buat benda baik, jangan la tunggu nak masuk tahun baru, baru nak buat..

Tapi biarkanlah..sekurang-kurangnya ada la juga anjakan paradigma yang nak kita buat bila masuk tahun baru ni.. Semoga sukses semua azam-azam tu..

Tadi selepas pulang dari sekolah, aku terfikir..macamana la agaknya kalau tak sempat sambut tahun 2010.. mungkin ni hari terakhir untuk bumi kita. eishh minta jauh la.. banyak lagi persiapan menuju akhirat aku tak buat.. huhu.. insaf siot.. (~_~)






Apapun selamat menyambut tahun 2010.. ini membuktikan umur bumi makin pendek..akhir zaman makin dekat.. pasang la azam yang boleh membawa kita semua ke syurgaNya..

30 Dec 2009

2 comments
Posted in

Patut la aku sakit kepala...

Hari ni aku ke sekolah lagi.. untuk agihan tugas sempena sesi 2010 nanti.. sekejapnya masa berlalu.. rasa macam baru je habis SPM.. huhu..

Macam-macam tugas yang aku dapat untuk sesi baru nanti.. tapi rock steady!!! aku accept je sebagai cabaran dan pengalaman baru..

Sebelah petang aku ke kedai optik di Yong Peng.. dah lama nak pergi sebab aku rasa rabun aku makin teruk.. pakai spec pun kabur!!.. pening kepala..sampai ke tengkuk..memang pun, power aku naik 75..kiri paling dasat la.. aku amik lens yang kalau kena sunshine boleh tukar warna jadi hitam..hahaha saja try pakai...tapi duit macam air la..deras..bukan meleleh lagi..

Esok aku akan ke sekolah lagi.. kepala aku dah mula teringat assignment maktab..huhu.. banyaknya sampai aku dah lupa apa yang perlu dibuat..hehe.. takpe, sabar ye assignment..datang 'rajin' aku nanti, aku kerjakan ko..

24 Dec 2009

2 comments
Posted in

Bertuah adik-adik aku..

Pagi-pagi lagi aku dah bertolak ke Muar.. sehinggakan nyonya kedai yang exercise pun tegur aku di depan rumah,"manyak bagus keluar awal-awal..talak panas.."

Sebenarnya aku ke Muar bukan sahaja nak jalan-jalan..buang tabiat namanya tu.. aku kena jemput adik aku, Fitri di sekolahnya Maahad Muar.. Dia baru pulang dari rombongan ke Langkawi.. bertuah ko dapat abg mcm aku..hahaha..
Terpaksa la aku bersiap-siap untuk ke Muar..sarapan pun di Muar.. tak perlu adik aku naik bas dengan beg dan bungkusan plastiknya..

Teringat masa aku belaja di UUM dulu.. sampai di Bustand Batu Pahat dari UUM jam 5 pagi.. setelah lebih 8jam dalam bas, aku kena tunggu pula ayah jemput aku di bustand jam 5 pagi.. masa tu takde siapa pun kat bustand..sunyi..kedai mamak yang tulis 24jam pun tutup..anjing-anjing pun tidur lagi.. duduk la aku di bangku besi dari jam 5 pagi hingga lebih kurang hampir 8 pagi..ayah pun sampai..huhu..



Ni la tempat kejadian..aku tunggu seorang diri..Bustand Batu Pahat


Lagi satu cerita..aku dah pernah post kt blog ni rasanya..masa aku konvo, aku stay kt UUM kerana meraikan rakan-rakan yang konvo lewat skit..nak dijadikan cerita, adik aku Nurul masuk wad di hospital putra.. Aku sampai Yong Peng dengan beg yang macam baru balik dari Mekah ni, tapi takde siapa yang boleh jemput di Lucky Garden..huhu.. Setelah 20 minit menunggu teksi atau bas, aku putus asa..takde 1 pun yang lalu!! aku pun nekad berjalan kaki.. dengan beg berat dan selipar buruk aku, aku pun menapak lebih kurang 3 km lebih.. berhenti banyak kali sebab tukar tangan nak galas beg orang haji ni..huhu..

Perjalanan kaki aku bermula di sini..huhu
Akhirnya aku tiba di rumah..dekat 2 jam aku berjalan. sampai rumah jam 10.30am.. Aku terbaring..kaki pun rasa sakit.. 2, 3 hari kemudian aku pergi berurut, katan tukang urut maybe tisu buku lali aku koyak.. dah kaki aku berbalut dekat seminggu.. balut dengan halia dan minyak panas..siap beli krim kat farmasi..

Itulah.. kehidupan makin baik..untung adik-adik aku.. biar la kita susah, tapi menyenangkan orang lain.. Bersyukur la apa yang kita dapat.. walaupun sedikit, lebih baik dari tiada.. huhu..

23 Dec 2009

10 comments
Posted in

Cuti semakin pendek..

Cuti sekolah hampir habis.. tugasan aku semasa berkursus belum terusik lagi..huhu..
Kepala dah mula memikirkan apa yang akan aku ajar murid-murid pendidikan khas ini..

Ada orang cakap, "ala, budak-budak ni bukan nak belajar pun..."
Ada orang cakap, "Ko ajar pun, nanti dia lupa la..."
Ada orang cakap, "Untungnya ajar pendidikan khas.. takde exam..tak pressure sangat"


Tapi..siapa yang sanggup memikul tanggungjawab untuk mendidik dan mengajar kanak-kanak ini?? Siapa yang sanggup menjawab soalan di dalam liang lahad nanti??
Aku pun takut nak memikul semua ini..

Apa sangat yang kanak-kanak ini tahu untuk menilai segala ilmu yang diberi..
mereka belum tentu dapat menilai baik dan buruk..
Tapi mereka bukan beban atau masalah kepada dunia ini..
Mereka juga perlukan apa yang kita perlukan..

Pandanglah mereka dengan mata hati.. pasti kita nampak tanggungjawab kita..


Pandangan mata terkadang menipu..
Pandangan akal terkadang tersalah..
Pandangan nafsu selalu melulu..
Pandangan hati itu yang hakiki..
Jika hati itu bersih..
Aku bagi satu metafora tahap pandangan..
Bayangkan kuih donat yang di depan mata..
Jika dipandang dengan 'mata', kita akan nampak donat yang sedap, penuh dengan kemanisan, bentuk yang menawan..hmm mesti sedap kuih ni...
Jika dipandang dengan 'akal', kita akan fikirkan bahan-bahan yang digunakan dalam membuat kuih ni.. adunan yang betul akan menghasilkan kuih yang lembut dan sedap..macam chef pula kalau kita cuba menerangkannya..biasalah kalau dah jadi chef yang mahir pasal masakan ni..
Jika dipandang dengan 'nafsu', kita akan rasa lapar dan tak sabar untuk menikmati kuih tu.. kita tak terfikir pun kesan kalau kita makan.. entah-entah dah basi.. lapar punya pasal, makan sajalah.. tak terfikir pun untuk check kuih tu elok lagi ke tak..
Tapi jika dipandang dengan 'hati', kita akan teringat siapa yang buat kuih tu.. mungkin si ibu di kampung bersusah payah mengirimkan kepada anaknya di luar negara.. mengenangkan susah payah membuat kuih bercampur rasa rindu kepada anaknya..tanpa disedari, air mata kita mengalir kerana melihat donut!!
Renung-renungkan dan selamat beramal!!!...

18 Dec 2009

2 comments
Posted in ,

Siapa Melayu???

Melayu ni hebat sebenarnya.. tetapi Melayu sendiri yang melemahkan Melayu, menjatuhkan, mengkritik, membangkang, memalukan bangsa sendiri..


Umpama percikan api kecil yang berusaha memarakkan semangat Melayu..

Wangian yang hilang di timur jauh

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua´alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

(Usman Awang)

17 Dec 2009

No comments
Posted in

Saat tahun berganti..

MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.
(sumber dan maklumat lanjut : http://www.ashtech.com.my/bulanislam/Muharam.html)
Tahniah kepada skuad bola sepak Malaysia yang memenangi pingat emas Sukan SEA ke 25 di Vientiane, Laos. Menewaskan Vietnam 1-0.. Tapi kasihan penyokong Malaysia.. kerana menyokong, (yang berada di stadium, di kedai-kedai makan dan sebagainya) mereka tak sempat membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Semoga dimakbulkan doa mereka, manalah tahu mereka sempat berdoa walaupun hanya sempat melafazkan beberapa kalimah permintaan dan keampunan dari Allah.
Majulah sukan untuk negara, Kukuhkan iman untuk ke syurga,
1 comment
Posted in ,

Kenangan manis tercipta

Hari kedua terakhir berada di IPGM KPM Melaka..

Hari ini tiada kelas jam 8 pagi.. tetapi bukan bermakna kami semua boleh tidur sehingga jam 10 pagi.. Pagi - pagi lagi kami dah berkumpul di kelas untuk rehearsal aerobik.. Begini, jam 4.35 petang nanti (subjek Pendidikan Jasmani) kami diarahkan menegendalikan kelas aerobik.. jadi tiga kumpulan dibentuk. Lelaki satu kumpulan (ada 7 orang je). Masing-masing memerah idea untuk pergerakan yang hendak dibuat petang nanti.. Selesai berlatih kami terus makan untuk tengahari..

Waktu yang dinantikan pun tiba.. penat betul ikut aerobik merepek-repek ni.. aku ketawa je sepanjang kelas.. macam-macam pergerakan budak-budak ni buat..

Malam, kami ada jamuan di muara sg. duyung.. ramai orang cina datang untuk makan.. Kata orang, kalau tempat tu ramai Cina maknanya makanan kat situ sedap.. Aku tak fikir tu semua..yang penting RM30 yang aku laburkan akan ditebus dengan makanan. hehehe.. Kenyang la juga.. Selepas majlis, kami semua ke Melaka Mall.. Ada yang rancang nak tengok wayang.. tapi tak sempat sebab jam dah hampir 10 malam.. cerita avatar tu ambil masa 2jam 45 minit.. Bimbang lambat sampai ke kolej..

Keputusan dibuat, kita semua karaoke.. aku ikut je la.. karoke bilik kecik..orang sebelah nyanyi pun boleh dengar..tak best betul..huhu

Selepas itu, kami basahkan tekak di kedai makan yang terkenal dengan roti terbang..(dah masuk tv3 ni..) wat roti canai penuh skill.. jam 12 lebih kami masuk ke IPG.. selamat pak guard tak tahan..(surat kebenaran mentor dah kami bagi sebelum keluar tadi..hehehe)

Esok pagi ada 1 kelas.. habios jam 11pagi..lepas tu aku kena pulang terus ke Johor.. tapi kena jemput adik aku dulu di Maahad Muar.. Plan nak round-round Melaka sebelum balik Johor tak jadi..huhu.. lain kali je la..
Mata dah mengantuk..tidur la..

gambar ada..tapi tak sempat nak upload..ngantuk sangat la..

13 Dec 2009

1 comment
Posted in ,

Sebab aku tak balik Yong Peng...


Pagi Sabtu, 12/12/09.. Semua guru pelatih yang seangkatan dengan aku diarahkan ke MITC untuk perarakan sempena 60 tahun Perhimpunan Belia Sedunia a.k.a World Assembly of Youth.. (masuk RTM ni..) . Kami menaiki bas IPG KPM.. Sampai di MITC, dapat baju free.. dan makan free.. hehe..

Ramai belia-belia di Melaka ni hadir untuk menyertai perarakan dari MITC sehinggalah ke bangunan Youth Foundation.. Tapi ada gak macam belia yang dah rosak.. Yang lelaki bersubang di telinga, yang perempuan pakaian macam-macam.. hmm tak kan ini produk belia yang Melaka cipta??

Majlis ini dirasmikan oleh Menteri Besar Melaka. Dihadiri oleh wakil-wakil negara seperti negara dari Timur Tengah dan kaki ampu yang lain..hoho. Aku pun tak berapa ingat siapa lagi yang datang..

Dapat juga aku upload gambar-gambar ni.. Inilah suasana yang sempat aku semadikan dalam bentuk visual.. Penat la program ni.. penat tunggu orang besar je.. cakap 8.30 pagi..pukul 10 lebih baru datang..
Join program ni, sedar tak sedar..aku dah belia dah..haha..ingatkan remaja lagi..















































11 Dec 2009

11 comments
Posted in ,

Jari menaip tanpa disedari....

Manusia...
Bila susah, datang minta bantuan..
Bila senang, lupa pada teman..

Manusia...
Mudah lupa jasa yang orang lain taburkan...
Tapi sering mengungkit semua kesilapan...

Manusia..
Sampai bila kau nak bersikap begini..
Sampai masa kau akan menyesal nanti..

Bila hati tak senang, jangan disimpan...
Cari cepat penyelesaian...
Cari tempat nak buat aduan...
Tapi tak ramai nak mendengar rintihan..
Jangan lupa pada Tuhan..
Dialah yang berkuasa membuat penentuan..

Aku masih bengang....

10 Dec 2009

3 comments
Posted in ,

Sangat meletihkan....

Hari ini memang memenatkan.. pagi-pagi aku dah kena jogging keliling IPG KPM ni.. tu takpe lagi sebab aku dah ada stamina..(dah pusing trek stadium tu..) kena buat latihan litar pulak.. satu latihan yang nak menguji kadar ketahanan kardiovaskular aku.. tau tak apa kardiovaskular tu??? haaa.. rajin-rajin la search internet..
2 set latihan litar aku kena buat.. pumping, sit up, speed short distance, ala2 star jump, macam-macam lagi station latihan litar ni.. memang penat.. Aku sempat tidur 10 minit kat bilik sementara menunggu kelas seterusnya..huhu

Tengahari pula, ada mesyuarat untuk pendidikan luar.. boleh pula aku dilantik jadi bendahari projek.. kepala aku dah mula fikir pasal kewangan.. aku sendiri pun masalah kewangan, nak fikir masalah projek pula..hahaha.. bajet takde, maybe kena keluar duit sendiri..dalam rm400..huh, layankan je la..

Petang tadi ada presentation pedagogi PJK.. aku ajar bola baling.. hantaran aras dada.. boleh plak classmate aku menyamar jadi macam budak OKU..sindrom la, autism la.. terpaksa la aku melayan perangai budak-budak ni masa P & P. Tapi sukses.. aku antara golongan yang dipuji lec la..hehe

Malam pula ada sambungan meeting petang tadi.. tapi meeting jawatankuasa je.. Aku dengan penat dan mata mengantuk hadir juga la.. tanggungjawab... Artikel ini di post selepas selesai meeting tu. Esok ada dua kelas je.. tapi aku takleh balik Yong Peng la.. ada program di MITC Sabtu nanti..PERARAKAN BELIA.. pergi je la...

9 Dec 2009

2 comments
Posted in ,

Pertama kali aku dapat...

Hari ni seronok skit..aku ada dua subjek je.. walaupun 1 subjek sampai 3 jam tapi aku rasa best sebab petang free.. Hari ni la hari pertama aku dapat tidur petang..hahaha.. Hilang sikit penat.. bangun tidur abang aku bagitau berita gembira plak..Iman nak dapat adik..hahahaha. Tahniah..

Tapi semalam pun best jugak.. lec aku belanja sarapan pagi.. makan nasi lemak dengan karipap.. Dia ni baru sekali ajar, pastu janji nak belanja satu kelas makan. Kelas kedua dah datang bawak makanan.. cayalah.. lain kali belanja lagi Encik Nasa!!

Esok??? takde siapa tau best ke tak.. aku lagi la tak tau.. tapi aku lah yang akan mencorakkan hari esok.. aku kena programkan diri aku sebelum tidur malam nanti.. Esok mesti lagi baik dari semalam..

8 Dec 2009

4 comments
Posted in , ,

FITRAH MANUSIA

Ada ilmuwan yang mengkaji tentang fitrah manusia ini..antaranya Imam Al-Ghazali, Freud dan ramai lagi.. Aku dah selalu baca pasal kajian imam Ghazali..kat U pun ada sentuh tajuk ni.. Tapi aku tertarik dengan teori Freud ni.. Walaupun lebih kurang teori imam Ghazali, tapi menarik juga untuk aku kongsikan sebab tak ramai baca pasal Freud ni..(dia tiru idea imam Ghazali ni agaknye..)

Rupa-rupanya, menurut pensyarah aku yang seorang kaunselor..kajian menunjukkan aktiviti semasa bayi sudah memberi kesan kepada kehidupan seseorang.. dari proses perkembangan fizikal, menghisap susu ibu, dan macam-macam lagi yang orang sekarang tidak pandang sebagai satu perkara serius.. aku pun tak terfikir perkara remeh itu memberi kesan..mungkin secara kebetulan, tapi ada rasionalnya kajian Freud ni..
Pensyarah aku berkongsi ilmu, kesannya terjadi pada anak lelakinya sendiri di mana beliau sudah melanggar fitrah semasa anaknya masih bayi.. Bayi bermula dengan telentang,meniarap,mengesot ke depan,merangkak,bertatih dan berjalan, seterusnya berlari.. tapi kerana ibu bapa nak tengok ananknya berjalan segera,anaknya melangkau fitrah dari mengesot terus berjalan..kerana menggunakan baby walker.. Hakikatnya, otot-otot bayi ini akan berkembang tanpa mengikut proses atau fitrah perkembangan manusia.. Apa akan jadi jika tumbesaran bayi terganggu?? Aaaa lu pikir la sendiri.....

Kalau nak tau pasal kajian Freud ni, klik la link ni..
http://www.scribd.com/doc/18038950/Psikoanalisa-Freud
aku nak cerita sendiri, nanti sesat plak ilmu dunia..dah slah sedekah ilmu..berdosa plak.. baca sendiri,fikir sendiri.. aktifkan minda kita...hehehe...

Psikoanalisa Freud

28 Nov 2009

1 comment
Posted in ,

Pengalaman Mula Tercatat

Empat hari di Institut Perguruan Guru, macam-macam yang dah berlaku. Sesi orientasi selama dua hari pada aku macam tak mencukupi untuk aku tau selok belok tentang IPG ni. Blok bangunan pun aku tak dapat nak explore lagi..( nak round malam-malam aku takut..ada hantu..hahaha) Biasalah blok bangunan ni dahulu kala merupakan hospital pada zaman Jepun menjajah. Ada bekas bilik wad, ada bekas bilik mayat.. Seram aku.. Lecturer di sini pun tak bagi guru-guru pelatih ni ronda-ronda ketika senja-senja.
Bilik yang aku duduk boleh dikatakan selesa. Ada tandas dalam bilik. Senang nak memerut. haha.. Dapat roomate dari Batu Pahat juga. Sebilik dua orang..Ok la.. masing-masing dah besar.. wat perangai sendiri je la..
Aku masuk kelas Pendidikan Khas 3..(PK 3).. Ada 18 orang.. 7 lelaki.. Dalam 57 orang guru pelatih (ada 3 kelas) aku seorang guru lelaki paling muda.. 23 tahun.. hohoho.. perempuan ada 3 orang 23 tahun..paling tua 34 tahun aku rasa..cikgu perempuan, cina..
Kelas agak padat.. mula pukul 8pagi, habis dalam 5 petang. Kelas kami ni padat sebab kami datang belajar semasa cuti sekolah je..tempoh dalam 1 setengah tahun..(kalau sepenuh masa maunya 3 tahun belajar)
Baru 4 hari, dah ada tugasan..huhuhu.. nasib baik la senang... teknologi di hujung jari..hehehe.. Ok la..aku masih bersemangat untuk belajar..Hope semangat ni masih ada sampai akhir nanti...
Selamat Datang Ke IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka.



Ni la suasana dalam bilik.. Aku tak sempat kemas lagi..

Tu pintu tandas (yang ada selipar tu)..Lagi satu pintu beranda (ada ampai je kat luar tu)

Mercu tanda di pintu masuk

23 Nov 2009

1 comment
Posted in ,

akhirnya aku jumpe...

aku dah jumpe lubuk 3g...kt pintu bilik aku je..hahaha
lepas ni leh la aku upload gambar dan modified blog skit..
tapi malam ni aku masih malas lagi nak wat..esok la..esok aku free....
selamat malam
1 comment
Posted in ,

BERPIJAK SUDAH SEBELAH KAKIKU....

23 November 2009.. aku mesti ingat tarikh ni..(orang lain tak nak ingat,aku peduli apa)
Aku semakin melangkah maju ke depan untuk menjadi guru.. Hari ni aku berdaftar untuk KDC-KPLI sekolah rendah (pendidikan khas) di Institut Perguruan Malaysia Kampus Perempuan Melaka. (tapi wek-awek tak banyak pun..ramai mak orang je..huhu)
Seramai 54 orang dari Melaka dan Johor telah hadir untuk mengikuti kursus ni.. Banyak yang aku nak ceritakan.. tapi nak upload gambar pula lambat sebab kat dalam ni takde network 3G!! hampeh la.. aku guna network GPRS je ni.. Lagipun aku kepenatan la sebab habis taklimat, aku terus pergi buat medical check up. Semua nak mengejut je.. hangin satu badan..
Ok la.. aku nak tidur..penat..barang-barang pun tak kemas lagi..huhu..

11 Nov 2009

No comments
Posted in

Minggu yang penuh aktiviti..penat + penat

Minggu lepas dan minggu ni sekolah aku memang penuh dengan aktiviti.. Mentang-mentanglah minggu peperiksaan dah lepas, macam-macam aktiviti dijalankan.. Penatnya sampai aku malas nak update blog.. balik rumah terus tidur.. Memang best dapat tidur petang..hehe

Minggu lepas aku terlibat dalam persiapan padang.. dekat seminggu wat line trek balapan.. kerja tertangguh sebab hujan.. main minyak hitam di bawah sinaran mentari, kulit aku dah macam rakyat asing yang bermastautin di Malaysia..hahaha.

Aku juga bawa anak murid aku berlatih sukan.. Masing-masing ada acara nanti.. tapi lawan sesama mereka je la.. tapi ada juga yang hebat, mewakili rumah sukan nanti..

Minggu lepas juga diadakan majlis akhir tahun murid darjah enam.. ada makan-makan.. aku pun hadir la dengan selamber.. makan nasi beringin tu.. sedap la juga.

Semalam aku datang ke Kem Tanjung Laboh. Membuat lawatan ke sana sebab 2 anak murid aku menyertai perkhemahan murid-murid pendidikan khas di sana. Aku cuma jadi penumpang je sebab datang dengan cikgu yang lain. Teringat Jambori Pengakap yang aku sertai masa darjah enam dulu.. Dulu macam hutan betul, sekarang dah bersih.. dulu aku demam lepas camping sebab tak berak 5 hari.. tandas kotor.. sekarang ni kalau tak berak maknanya sembelit la tu.. tandas dah cantik dah..

Siang tadi aku jadi pengadil acara lontar peluru.. panas betul. pening kepala aku sebab berpanas. Jam 12.30pm pula ada majlis meraikan bakal hajah, Pn Asiah yang akan ke tanah suci 15hb ini (kalau tak silap aku la). Makan free lagi.. sepanjang minggu ni, aku makan free je.. wat line trek pun dapat makan free juga.. makan je la, rezeki jangan ditolak.hehe..

Esok acara kemuncak sukan tahunan. Aku ditugaskan jadi empayar lorong. Memang kena pkai topi kebun apek la.. kalau tak, hitam la muka aku.. kalau hujan esok, best jugak.hehehe





Inilah kawasan tanah lot aku.. (tanah lot untuk dikerjakan wat trek..hahaha)
Transformasi jadi hitam.. BERTUKAR!!!!
Majlis akhir tahun murid tahun 6.. lamanya ucapan.. aku dah lapar ni...
Ni kad jemputan aku dapat.. bukan datang tanpa diundang tau...
Bawa budak melintas jalan menggunakan jejantas.. Menuju ke padang SMK Dato Menteri..

Anak murid aku, Najiy yang pakai topi tu.. ketua kumpulan tu..
Aku tengok fasi kumpulan je..hahaha (cikgu muda-muda tu..)
Ain yang baju belang tu.. rajin pula ko kat sini ye..


Majlis meraikan bakal hajah.. makan free lagi.. semoga Pn Asiah selamat pergi dan pulang..

31 Oct 2009

6 comments
Posted in

Oh Johnny's.....

Malam semalam, sebelum azan maghrib tiba-tiba ayah ajak kami sekeluarga makan steamboat di Batu Pahat. Apa lagi, selepas solat maghrib, kami terus ke sana. Kali terakhir aku makan steamboat di Danga Bay. Di Batu Pahat ni ayah cakap kedainya bagus. Boleh tahan la.. Aku memandu mengikut arahan. Ke kiri, aku pusing ke kiri.. ke kanan, aku pusing ke kanan.. Sampai la di Johnny's. Kedatangan kami di sambut pekerja Bangladesh yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

Setelah siap dihidang, kami pun makan dengna rakusnya.. hahaha.. tu pun tak dapat nak habiskan sampai licin. Takkan nak bungkus bawa balik pula..
Sebagai tujuan nak bagi adik beradik aku yang lain telan air liur, maka aku uploadkanlah gambar di Johnny's tu..Wakakaka
(takpe, lain kali leh gi ramai-ramai lagi.. abang azam atau angah leh belanja kan ? kan ? kan..?)


Ni la Set C tu.. aku main sebat je...



Upacara perasmian..

Muka-muka sebelum menjadi rakus
Model pencungkil gigi kedai Johnny's..hahahaHummm..bau dia...tak leh tahan...masyukk..

25 Oct 2009

No comments
Posted in

FREE KE MELAKA..hahahaha

Sabtu lalu pelajar Tahun 6 SK Ayer Hitam mengadakan lawatan ke Melaka. Aku diminta menggantikan guru yang tidak dapat menyertai lawatan itu. Dengan selamberock nye aku bersetuju untuk pergi setelah mengetahui segala perbelanjaan adalah percuma. hahaha.

Pagi Sabtu tu aku memecut laju ke SK Ayer Hitam. 10 minit dah sampai. Bas pun dah ada dan aku terus masuk ke bas untuk memastikan murid di bawah kawalan aku ada di dalam bas. Sekali kena duduk belakang daa..jaga budak-budak ni.. Aku dibekalkan walkie talkie untuk sebarang makluman atau kecemasan..(macam gaya sb).

Malas nak merepek panjang. Aku upload gambar yang ada dalam handset aku..( dalam kamera kat orang lain..tak sedut lagi)

Otai kena duduk belakang..jaga line..hahaha

Ni la alat perhubungan aku..kalau leh wat main sms kan bagus

Muzium Samudera.. Ada layar kan cantik..


Murid-murid naik kapal..jangan roboh dah la..

Alfonso de Alburquerqe dan harta karun dalam kapal ni..

Masjid Selat Melaka..cantik masjid ni.. kat sini kami berhenti makan..

Menara Taming Sari.. replika je ni. Pertama kali aku naik..

Di Muzium Istana Kesultanan Melayu.. ni di Balairung Seri

Diorama di Balairung Seri..

Kota A Famosa.. Aku kat atas.. cikgu lain kat bawah..penat katanya..

Ramai orang kat atas ni.. tapi takde pe pun..

Ni ape nak cakap ek..ada yang disemadikan di sini.. kubur ke ape ni..agaknye la

20 Oct 2009

2 comments
Posted in

Sejadah berdiri lagi!!!! Berdiri dengan rambu sendiri..(BERDIRARI) haha

Sebentar tadi aku menonton Buletin Utama. Aku tertarik untuk memperkatakan tentang berita sejadah berdiri di sebuah surau sekolah di Pasir Mas, Kelantan.. Ada 16 sejadah (kalau tak silap dengar la) dalam posisi bersolat (aku tgk tak macam pun). Siap ada 'imam' lagi. Ramai orang awam yang datang melihat. Ada yang bawa anak, ada yang bawa kamera, ada yang bawa mulut ke sana sini menokok cerita dari umpama 1 cd kepada 1 dvd. hahaha

Hai...orang Melayu masih suka perkara mistik ni.. Tak terfikirkah kalau susunan sejadah tu ada budak-budak sekolah yang buat.. Siap nak laporkan pada Buletin Utama lagi.. Hehehe.. Aku tengok dalam rakaman video tu, bukan la berdiri tinggi pun..macam disusun dan digumpal-gumpal je.. Bukankah boleh syirik percaya perkara karut-karut ni.. Jabatan agama yang dihubungi pun berpendapat mungkin ada individu yang sengaja membuat gempar..

Semasa dengar berita tu, aku sempat ambil sejadah dan buat gumpalan seperti dalam rakaman video tu.. huh, lagi tinggi aku leh buat.. hahaha.. Berubah la wahai Melayu..

Melayu memang takkan hilang di dunia, tapi adakah melayu akan mengubah dunia???!!!!




Apa lagi, panggil buletin utama la..hahaha
Nota: Gambar di atas dibuat oleh penulis sendiri.. takdenye sejadah tu nak berdiri sendiri.. tak pasal-pasal tv3 datang umah aku nanti..
fuyoo sejadah berdiri tepi aku..lagi tinggi dari video tadi tau..

19 Oct 2009

1 comment
Posted in

Ada bungkusan untuk aku..

Sampai di rumah selepas pulang dari kerja tadi, aku dikejutkan dengan bungkusan yang dipos khas untuk aku.. Wah...ada hadiah la..

Terima kasih kepada dayah yang menghadiahkan aku t-shirt, key chain dan pen. Ole-ole dari Bandung katanya.. Dia baru balik bercuti, ingat juga kat aku ye.. terima kasih.. ingatkan ole-ole tu ko nak bagi mee bandung ke, sirap bandung ke.. hahaha..

Lepas je ambil gambar, aku terus mesej Dayah.. terima kasih kat Ayu juga selaku orang di sebalik tabir dalam proses memastikan bungkusan ini ke rumah aku..hehehe. (kawan ko anta guna buraq ke?hehehe)

Ni la benda dalam kotak tu..

Mekaseh Dayah untuk ole-ole ko tu..!!!